Hari kedua kami di bumi Perth , cuaca pula memang sejuk menggigil ! Tapi tetap tak halang semangat kami untuk nak berjalan-jalan di Perth CBD dan shopping di tengah kota Perth! Nama pun ‘city day’, kan. Hehe.


Perth Day 2 Jalan-Jalan & Shopping Time di Perth CBD !
Lepas sarapan (yang sebenarnya brunch) di hotel, kami pun bersiap-siap keluar. Tapi kali ni malas nak menapak lama-lama. Nak jalan kaki dari Comfort Inn & Suites Goodearth ke Perth City dalam 20 minit jugaklah. Fuhh sejuk pun ya, jauh sikit pun ya. Jadi kami buat keputusan untuk naik bas je!

Naik Bas di Perth? Percuma Weiii!
Yes, bas dekat kawasan CBD Perth ni percuma je. Nama servisnya CAT Bus (Central Area Transit). Korang boleh naik turun sesuka hati tanpa bayar satu sen pun!
Lagi best, bas stop depan hotel je. Tinggal jalan keluar lobi terus tunggu. Tak perlu kalut cari parking, tak perlu susah fikir bayar berapa. Tapi kalau korang decide nak naik kereta jugak, prepare lah bayar lebih kurang $6 sejam untuk parking. Kira-kira RM17 jugak la sejam. Nak pusing-pusing 4 jam? Kiralah sendiri hehe.
Cuaca Perth Musim Sejuk , Tapi Best!
Cuaca hari kedua ni... kejap hujan, kejap reda. Gitulah musim winter di Perth. Tapi bukanlah hujan lebat sangat pun. Macam gerimis manja dekat Malaysia je. Tapi sejuk dia tetap menyengat!
Jangan bajet sasa sangat nak jalan tanpa jaket. Mat salleh pun semua pakai jaket tau, walaupun orang putih kononnya tahan sejuk. Kita rakyat Malaysia, sila insaf .
Lokasi-Lokasi Wajib Singgah Hari Ni....




Hay Street Mall
Sampai je Perth City, kami mulakan dengan Hay Street Mall. Kat sini best untuk cuci mata, cari toilet (penting okey), dan lepak-lepak minum kopi atau makan pun ada. Ada macam-macam kedai dari butik sampai kedai cenderamata.
Tempat ni agak luas dan mostly outdoor, jadi feeling dia macam jalan-jalan dekat Jonker Walk versi Perth lah. Tapi lebih chill dan bersih.



London Court
London Court, yang terletak di tengah-tengah Perth CBD antara Hay Street Mall dan St Georges Terrace, ialah salah satu tempat paling ikonik dan Instagrammable di Perth walaupun kecil, tapi penuh dengan karakter unik ala-ala Eropah lama. Kalau korang jalan-jalan area Hay Street Mall, memang wajib masuk lorong ini.
London Court dibina pada tahun 1937 oleh seorang pelabur kaya bernama Claude de Bernales, seorang peniaga perlombongan emas. Konsep bangunan ini diinspirasikan oleh seni bina zaman Tudor di England, dan memang sengaja dibina untuk beri vibe seperti berjalan di lorong-lorong kecil di London zaman silam.
Lorong ini menghubungkan dua jalan utama di Perth:
- Hay Street Mall (pintu hadapan)
- St Georges Terrace (pintu belakang)
Ciri Menarik London Court:
Seni bina zaman Tudor dinding bata merah, kayu ukiran, bumbung runcing, tingkap kaca warna-warni dan replika patung klasik Eropah. Bila masuk lorong ni, rasa macam masuk set filem Harry Potter .
Jam Antik
Terdapat dua jam besar di hujung lorong (depan dan belakang). Jam ini ada patung kecil yang akan bergerak setiap 15 minit. Ramai tunggu untuk rakam video waktu ni, especially budak-budak suka tengok.
Kedai-kedai unik dalam lorong ni ada kedai menjual:
- Barangan kemas & jam tangan
- Kedai cenderamata Perth
- Café kecil
- Butik pakaian & seni
- Kedai coklat dan snek manis
- Galeri seni tempatan
Spot bergambar popular. Kalau datang waktu pagi (sebelum ramai orang), korang boleh dapat gambar aesthetic gila-gila! Lighting semula jadi masuk dari atas dan batu-bata merah buat gambar nampak macam di Eropah betul.



Chemist Warehouse
Ni antara kedai wajib singgah kalau datang Australia. Chemist Warehouse ni boleh cari macam-macam dari ubat, vitamin, skincare sampai perfume.
Harga perfume sini boleh tahan murah. Tapi kena pandai pilih. Ada brand yang harga beza banyak berbanding Malaysia. Tapi nasihat jujur belanja ikut kemampuan dompet masing-masing ya! Jangan sakan sangat, nanti menangis bila tengok baki bank.
Kmart
Tempat feveret kami untuk beli barang keluarga. Nak cari hadiah birthday, pakaian winter, mainan anak-anak semua boleh dapat sini.
Daim & Dzal sempat pilih jaket Tottenham, special sikit sebab minat bola hehe. Kami pun beli hadiah untuk mak, abah, along dan kawan-kawan kat sini terus. Harga memang berbaloi, tapi kalau convert RM ke AUD tu... fuh, terasa jugak lah ya.



Woolworths
Woolworths ni macam Tesco / Lotus versi Aussie. Kami masuk cari groceries dan coklat. Coklat Australia memang sedap dan berbaloi! Tapi untuk ayam, daging dan kambing, kami tak beli sini sebab nak yang halal.
Kami beli dan singgah di Belmont Halal Market je beli semua tu.


7-Eleven Perth CBD
Haaa ni wajib stop untuk kopi panas dan hot chocolate! Tengah-tengah cuaca sejuk ni, masuk 7-Eleven rasa macam peluk heater.
Paling best harga latte dan hot chocolate cuma $2 ke $3 je. Kalau tempat lain, boleh sampai $6-7 secawan. Jimat banyak minum sini. Kami pun pekena kopi panas sebelum balik hotel.

Balik Hotel – Masak, Makan, Rehat
Lepas habis pusing-pusing dan kaki pun dah lenguh, kami pun balik hotel naik bas semula. Senang betul ada bas percuma ni, memang best stay area Perth CBD.
Sampai je bilik, terus tukar baju, masak untuk dinner. Kami bawa bahan dari Malaysia dan beli sikit dekat Belmont Halal Market. Malam tu makan dalam bilik je, jimat dan tenang .
Tips Tambahan Untuk Korang Yang Nak Ke Perth:
- Download apps Transperth – untuk semak jadual dan laluan bas percuma.
- Bawa jaket tebal walaupun korang rasa badan jenis tahan sejuk. Percayalah, sejuk Perth ni boleh buat tersentak .
- Shopping ikut bajet ingat, matawang AUD tu boleh buat dompet menangis kalau tak berhati-hati.
- Kalau boleh, duduk hotel dekat dengan CAT Bus stop. Jimat masa dan tenaga.
Kalau travel dengan anak-anak, plan pit stop untuk toilet & makan. Hay Street Mall, Kmart dan Chemist Warehouse semua ada kemudahan ni.
Penutup Hari Kedua – Walau Hujan, Tetap Penuh Memori
Walaupun hujan sekejap-sekejap, hari kedua kami di Perth tetap meriah. Dapat tengok suasana bandar Perth, beli barang untuk keluarga, dan lepak dengan kopi panas semua tu sangat priceless.
Tak sabar nak cerita untuk Perth Day 3 pulak! Ada banyak lagi tempat best kami lawat. Tungguuuuu
Post a Comment
Welcome back , guys !
Thank you for connecting with me. Your comments are much appreciated :)
For any enquiries, please do not hesitate to contact me at nurazlindaazman@gmail.com